Tahniah buat sahabat-sahabat yang berjaya dalam sesi pertukaran Mac 2016. Mudah-mudahan kisah duka lara kalian semakin ringan. Meskipun tidak mampu lagi pulang ke negeri kelahiran, namun sekurang-kurangnya sudah berada di tanah semenanjung. Ya, semakin dekat dengan keluarga dan sanak-saudara berbanding dari terus berada di sini yang agak berjauhan barangkali.
Bersyukurlah
kepada Allah s.w.t kerana memakbulkan doa kalian untuk lebih mendekat dengan
orang-orang yang tersayang. Insan ini mungkin kurang mengerti perasaan kalian
yang berduka lara kerana belum pun selangkah berada di tempat kalian, tetapi
melihat kesulitan kalian sudah tentu insan ini mengerti betapa perlunya kalian berada
di sisi insan-insan yang tersayang.
Kerisauan dan
kebimbangan pada sebuah ikatan dan pertalian kekeluargaan ternampak seakan
dilema yang membelenggu jiwa bila di kejauhan. Insan ini mengerti, bukan mudah
untuk meninggalkan isteri dan anak-anak yang masih kecil jauh dari perhatian
dan pandangan mata. Hubungan di talian telefon dan talian terbuka tidak mungkin
sama dengan suasana ketika di sisi dan di depan mata. Anak-anak adalah amanah
Allah untuk dijaga dan diperlihara serta diberi didikan yang sewajarnya agar
menjadi insan yang berguna pada masa akan datang.
Bagi mereka yang
belum ada rezeki pada pertukaran pada kali ini, bertabahlah dan cuba lagi pada
masa yang akan datang. Mungkin belum rezeki pada sesi kali ini, insya-Allah
akan menyusul sedikit masa lagi. Kita cuma merancang, tetapi Allah jua yang
menentukan segala-galanya. Teruskanlah berusaha dan berjuang, serta tidak jemu
berdoa mudah-mudahan dapat merasai nikmat perpindahan sepertimana mereka yang
telah berjaya.
Betapa hati insan
ini bercampur antara gembira dan hiba bila mana ada teman-teman yang dapat
berpindah pada sesi pertukaran pada kali ini. Benar, gembira kerana mereka
dapat kembali mendekat dengan keluarga masing-masing dan rasa sayu pula hati
bila teman-teman yang sekian lama bersama-sama kita akan pulang meninggalkan
kita berjuang di kepulauan borneo ini. Yang pasti, suasana selepas ini akan
berubah terutamanya dalam meniti ukhuwah di kejauhan ini. Bagi insan ini,
mereka adalah teman-teman dan mereka seperti keluarga yang banyak menghiburkan
hati dan membantu insan ini ketika berada di kejauhan ini.
Beginilah lumrah kehidupan, setiap pertemuan pasti akan ada perpisahan. Mungkin perjuangan kalian di sini telah berakhir dan perjuangan di tanah semenanjung akan bermula. Suasananya pasti berbeza walau di mana pun kita berada. Sebagai pendidik, teruskanlah berbakti mendidik anak bangsa dengan penuh profesional dan berdedikasi agar amal jariah yang dilakukan ini mendapat keredhaan dan keberkatan daripada Allah s.w.t.
Insan ini masih
di sini. Belum berduka lara, cuma berduka cita. Akan meneruskan perjuangan
sehingga tibanya ketentuan. Akan terus bersabar dan tabah dalam perjuangan ini.
Insan ini percaya, lambat ataupun cepat, insan ini akan pulang juga ke tanah
semenanjung untuk berkhidmat di sana pula. Insya-Allah. Doa-doakanlah insan ini
agar dapat juga kembali mendekat dengan keluarga yang tercinta suatu hari
nanti. Benar, kita hanya merancang, di sisi Allah jualah sebaik-baik perancangan.
Mungkin ada hikmah untuk insan ini dan teman-teman yang lain terus berjuang di
sini sebelum pulang berkhidmat di semenanjung nanti.
Selamat berjuang
dan bertugas di tempat baru bagi teman-teman yang berjaya dalam sesi pertukaran
pada kali ini. Terima kasih atas ikatan persahabatan yang cukup indah ini.
Tanpa kalian nanti, pasti akan menggamit kerinduan. Tapi insya-Allah, yang
patah akan tumbuh, yang hilang akan berganti. Walaupun tidak sama, tetapi akan
terus menghiasi taman ukhuwah di kejauhan ini. Insya-Allah. Semoga ikatan
ukhuwah yang terbina, akan terus mekar mewangi hingga ke syurga firdausi. Amin.
Pertemuan dan
perpisahan adalah lumrah kehidupan, terimalah ketentuan!