Tuesday 8 January 2013

Be A Teacher Must Be A Creative Teacher..

Hari ini kelas berjalan seperti biasa. Kelas saya hari ini bermula jam 8.00 pagi sehingga jam 8.30 pagi bagi subjek Pendidikan Islam Tahun 1. Kandungan pembelajaran hari ini adalah sekitar mengenal dan membaca huruf hijaiyyah tunggal berbaris satu di atas. Kaedah semalam masih diguna pakai oleh saya pada hari ini. Guru menyebut manakala murid mengikut sebutan guru. Kemudian, guru meminta murid-murid menyebut huruf-huruf yang diajar berulangkali secara beramai-ramai dan individu. Selepas itu, guru meminta murid menulis huruf yang diajar pada kertas A4.

Kemudian diteruskan lagi dengan subjek Bahasa Arab Tahun 2 bermula jam 8.30 pagi hingga 9.30 pagi. Pengajaran saya pada hari ini adalah sekitar mendengar bunyi huruf melalui bunyi kenderaan dan binatang. Murid dapat mengikuti pembelajaran biarpun murid sedikit nakal dan kawalan kelas sedikit terganggu. Saya terpaksa bertindak tegas bagi mengawal keadaan. Terasa kepenatan untuk melayan karenah murid-murid 'pemulihan' Tahun 2 ini.


Saya telah memberikan kerja rumah kepada mereka. Kelainannya adalah, saya menyediakan sampul surat yang berisi lembaran kerja untuk mereka siapkan dan kemudiannya mereka mesti memasukkan sampul surat tersebut semula ke dalam kotak yang saya sediakan. Saya menggunakan kaedah pos surat bagi lembaran bagi melihat sikap dan komitmen mereka terhadap kerja yang diberikan. Saya melihat murid-murid saya begitu seronok mendapat sampul surat yang tertulis nama mereka. Saya berharap agar mereka menuruti arahan dan pesanan saya agar menghantar sampul surat tersebut ke dalam kotak yang disediakan setelah selesai menyiapkannya di rumah untuk disemak oleh saya.

Dalam menunggu sesi pengajaran yang seterusnya yang akan berlangsung pada jam 11.00 hingga 12.00 tengah hari, saya cuba menyiapkan satu papan permainan dadu bagi aktiviti permainan bahasa untuk aktiviti P&P yang akan datang sebagai persediaan awal Bahan Bantu Mengajar buat saya. Saya menggunakan 2 kad manila dan membentuk 6 poket yang akan saya isi dengan perkataan-perkataan yang bakal diajar nanti. Saya menanda setiap poket dengan bentuk tanda biji dadu dari satu titik hingga enam titik. ABM ini akan saya gunakan dalam sesi praktikum nanti. Mudah-mudahan ia dapat menarik minat murid-murid saya untuk belajar Bahasa Arab dan Pendidikan Islam.


We must change ourselves before we change others. Guru mesti bersiap sedia dengan rancangan pengajaran dan mengambil tahu keperluan murid dari semasa ke semasa agar proses pembelajaran dapat memberi input yang berkesan kepada murid. Semoga Allah merahmati segala usaha kita dalam mendidik manusia untuk mengenal Allah s.w.t dan usaha kita dalam memberikan ilmu sebagai bekalan mereka di hari muka.

Tepat jam 11.00 pagi, saya masuk kelas Tahun 5 mengajar Pendidikan Seni Visual. Mata pelajaran di luar bidang pengajian saya. Namun tetap perlu digalas kerana ianya satu amanah yang diberikan. Hari ini murid-murid tahun 5, saya minta melukis pemandangan ketika matahari hampir terbenam. Saya juga melukis di papan hitam sebagai pertambahan idea kepada mereka. Lukisan mereka kelihatan cantik dan menarik dan masih perlu digilap untuk lebih men'cantik'kannya. Insya-Allah dari semasa ke semasa.

Jam 1.00 petang, pulang ke rumah sewa. Rest and plan what I want to do after this.. Be a good and creative teacher. Never give up and must to try and  try something new for our students.. Okay!

No comments:

Post a Comment