Thursday 3 January 2013

My first day at primary school for this year; 2013...

Hari pertama di sekolah. Perhimpunan diadakan jam 7.30 pagi. Ditugaskan membaca doa pada hari ini. Guru Besar menyampaikan amanat kepada murid-murid berkenaan rutin harian persekolahan. Murid-murid dan warga guru mesti berada di sekolah selewat-lewatnya jam 7.20 pagi pada setiap hari persekolahan.

Waktu perhimpunan diperuntukkan selama 30 minit sebelum bermulanya sesi pengajaran dan pembelajaran dan ditetapkan pada setiap hari Isnin jam 7.30 pagi sehingga 8.00 pagi. Berbeza pada hari ini kerana sesi persekolahan baru sahaja bermula. Perhimpunan pertama sesi persekolahan bagi sesi 2012.

Hari ini, terdapat kesilapan jadual yang diagihkan semalam kepada saya. Sepatutnya dalam jadual yang diagihkan, perlu mengajar subjek Pendidikan Islam Tahun 2, namun tunggu punya tunggu ada guru lain dalam kelas. Kemudian merujuk kepada Guru penyelaras jadual waktu, ternyata berlaku kesilapan di situ. Sepatutnya, bagi subjek tersebut akan diajar pada hari esok iaitu Khamis. Segera memperbetulkan kesilapan tersebut agar tidak menganggu perancangan mengajar harian.

Selepas waktu rehat iaitu pada jam 11.00 pagi, barulah sesi pertama pengajaran dan pembelajaran bermula. Ia adalah bagi subjek Bahasa Arab Tahun 1. Pada sesi ini, saya bersama mentor memilih pelajar yang tidak dapat membaca agar diasingkan dan bakal diserahkan kepada saya untuk dibimbing di bilik yang berasingan. Begitulah konsep j-QAF, guru j-QAF sebagai pembantu guru Pendidikan Islam di sekolah.

Hari ini, saya tidak mengajar kerana menyerahkan kepada mentor saya untuk sesi pengajaran. Saya hanya membantu murid-murid tahun 1 mengeluarkan buku teks Bahasa Arab Tahun 1. Ramai juga dalam kalangan mereka tertukar buku dengan buku yang lain. Saya sendiri terpaksa pergi dari satu meja ke meja yang lain untuk mengeluarkan buku teks tersebut dalam beg sekolah mereka. Ini rutin biasa bagi murid Tahun 1 pada awal sesi persekolahan. Guru seharusnya banyak bersabar dan perlu banyak mendampingi murid-murid untuk mengenal buku yang sepatutnya diambil bagi sesuatu mata pelajaran. Mereka masih dalam proses menyesuaikan diri dengan alam persekolahan yang baru.

Itulah sedikit sebanyak, peristiwa di sekolah saya pada hari ini. Saya masih tidak mengenali pelajar Tahun 1 kerana sebelum ini saya tidak mengajar prasekolah. Insya-Allah, selepas ini saya akan cuba mengenali mereka. Ya, nama dan diri mereka. Tak kenal maka tak cinta. Bukankah begitu?

Selamat Bertugas Cikgu! Ustaz! Ustazah! Sir! Teacher!

Mudah-mudahan dipermudahkan segala urusan kita dalam mendidik anak bangsa kita. Semoga mereka memperolehi ilmu yang bermanfaat untuk diri mereka bagi menjalani kehidupan di dunia ini. Didiklah anak-anakmu sesuai dengan zaman mereka!



Selamat bertugas!

No comments:

Post a Comment