Sunday 21 February 2016

Patah tumbuh, hilang berganti..


Tahniah buat sahabat-sahabat yang berjaya dalam sesi pertukaran Mac 2016. Mudah-mudahan kisah duka lara kalian semakin ringan. Meskipun tidak mampu lagi pulang ke negeri kelahiran, namun sekurang-kurangnya sudah berada di tanah semenanjung. Ya, semakin dekat dengan keluarga dan sanak-saudara berbanding dari terus berada di sini yang agak berjauhan barangkali.

Bersyukurlah kepada Allah s.w.t kerana memakbulkan doa kalian untuk lebih mendekat dengan orang-orang yang tersayang. Insan ini mungkin kurang mengerti perasaan kalian yang berduka lara kerana belum pun selangkah berada di tempat kalian, tetapi melihat kesulitan kalian sudah tentu insan ini mengerti betapa perlunya kalian berada di sisi insan-insan yang tersayang.

Kerisauan dan kebimbangan pada sebuah ikatan dan pertalian kekeluargaan ternampak seakan dilema yang membelenggu jiwa bila di kejauhan. Insan ini mengerti, bukan mudah untuk meninggalkan isteri dan anak-anak yang masih kecil jauh dari perhatian dan pandangan mata. Hubungan di talian telefon dan talian terbuka tidak mungkin sama dengan suasana ketika di sisi dan di depan mata. Anak-anak adalah amanah Allah untuk dijaga dan diperlihara serta diberi didikan yang sewajarnya agar menjadi insan yang berguna pada masa akan datang.

Bagi mereka yang belum ada rezeki pada pertukaran pada kali ini, bertabahlah dan cuba lagi pada masa yang akan datang. Mungkin belum rezeki pada sesi kali ini, insya-Allah akan menyusul sedikit masa lagi. Kita cuma merancang, tetapi Allah jua yang menentukan segala-galanya. Teruskanlah berusaha dan berjuang, serta tidak jemu berdoa mudah-mudahan dapat merasai nikmat perpindahan sepertimana mereka yang telah berjaya.

Betapa hati insan ini bercampur antara gembira dan hiba bila mana ada teman-teman yang dapat berpindah pada sesi pertukaran pada kali ini. Benar, gembira kerana mereka dapat kembali mendekat dengan keluarga masing-masing dan rasa sayu pula hati bila teman-teman yang sekian lama bersama-sama kita akan pulang meninggalkan kita berjuang di kepulauan borneo ini. Yang pasti, suasana selepas ini akan berubah terutamanya dalam meniti ukhuwah di kejauhan ini. Bagi insan ini, mereka adalah teman-teman dan mereka seperti keluarga yang banyak menghiburkan hati dan membantu insan ini ketika berada di kejauhan ini.


Beginilah lumrah kehidupan, setiap pertemuan pasti akan ada perpisahan. Mungkin perjuangan kalian di sini telah berakhir dan perjuangan di tanah semenanjung akan bermula. Suasananya pasti berbeza walau di mana pun kita berada. Sebagai pendidik, teruskanlah berbakti mendidik anak bangsa dengan penuh profesional dan berdedikasi agar amal jariah yang dilakukan ini mendapat keredhaan dan keberkatan daripada Allah s.w.t.

Insan ini masih di sini. Belum berduka lara, cuma berduka cita. Akan meneruskan perjuangan sehingga tibanya ketentuan. Akan terus bersabar dan tabah dalam perjuangan ini. Insan ini percaya, lambat ataupun cepat, insan ini akan pulang juga ke tanah semenanjung untuk berkhidmat di sana pula. Insya-Allah. Doa-doakanlah insan ini agar dapat juga kembali mendekat dengan keluarga yang tercinta suatu hari nanti. Benar, kita hanya merancang, di sisi Allah jualah sebaik-baik perancangan. Mungkin ada hikmah untuk insan ini dan teman-teman yang lain terus berjuang di sini sebelum pulang berkhidmat di semenanjung nanti.

Selamat berjuang dan bertugas di tempat baru bagi teman-teman yang berjaya dalam sesi pertukaran pada kali ini. Terima kasih atas ikatan persahabatan yang cukup indah ini. Tanpa kalian nanti, pasti akan menggamit kerinduan. Tapi insya-Allah, yang patah akan tumbuh, yang hilang akan berganti. Walaupun tidak sama, tetapi akan terus menghiasi taman ukhuwah di kejauhan ini. Insya-Allah. Semoga ikatan ukhuwah yang terbina, akan terus mekar mewangi hingga ke syurga firdausi. Amin.

Pertemuan dan perpisahan adalah lumrah kehidupan, terimalah ketentuan!

Monday 15 February 2016

Kembali bertugas, kembali masuk ke dalam kelas..


Cuti seminggu sudah habis. Ya, cuti sempena perayaan Tahun Baru Cina. Hari ini, insan ini kembali bertugas sebagai pendidik di sekolah. Kembali masuk ke dalam kelas. Kembali mencurah ilmu kepada murid-murid di bilik darjah. Macam biasa, suasana selepas bercuti, masih tercari-cari semangat untuk mengajar. Maklumlah, enjin telah sejuk bila mana bercuti selama seminggu ini.

Insya-Allah, akan segera pulih dari dilema ‘cuti’ ini. Semoga anak-anak murid juga kembali bersedia menerima curahan ilmu daripada warga pendidik. Beginilah belenggu yang sering menimpa insan ini seusai cuti berakhir. Mencari rentak dan momentum untuk berkerja dengan lebih bertenaga dan bersemangat. Insan ini percaya, bukan insan ini sahaja yang mengalaminya. Rakan-rakan lain yang bergelar pendidik juga pasti turut merasakannya.

Justeru, dalam tempoh sehari dua ini perlu kembali melihat refleksi sesi pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Adakah mencapai objektif atau sebaliknya?. Sedaya upaya memberikan yang terbaik sekadar yang termampu untuk menyampaikan ilmu kepada anak-anak murid insan ini.


Ikhlaskanlah hati dalam mendidik anak bangsa kita. Sebagai pendidik, kita hanya mampu menyampaikan ilmu kepada murid-murid. Kita sedaya upaya cuba memahamkan mereka isi pengajaran kepada murid. Mereka faham atau tidak bukan urusan kita. Ia bergantung kepada usaha dan kemampuan serta tahap kecerdasan minda murid. Kita hanya mampu terus berdoa agar mereka diberikan kefahaman oleh Allah s.w.t.

Kita ada cerita masing-masing di bilik darjah. Karenah murid yang bermacam-macam jenis menuntut kesabaran dan ketabahan. Bukan mudah mengawal anak-anak dari pelbagai latar belakang kehidupan yang berbeza. Ketegasan tetap perlu ada dalam mendidik mereka agar mereka tahu membezakan antara yang betul dan yang salah. Biarpun mereka bukan anak kandung kita tapi mereka diamanahkan untuk diasuh dan diberi didikan yang sewajarnya mengikut keperluan semasa.


Dunia pendidikan pada hari ini semakin mencabar dan menuntut komitmen dan pengorbanan yang tinggi daripada warga pendidik. Selari dengan perkembangan sistem pendidikan pada abad ke-21, sewajarnya kita para pendidik perlu sentiasa bersedia dan peka dengan tuntutan dalam bidang perguruan pada masa kini agar mampu mencapai visi dan misi yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.

Kembali masuk ke dalam kelas, mulakanlah dengan niat yang ikhlas!

Saturday 13 February 2016

Tutup cerita lama, buka lembaran baru..


Seakan sudah bersarang debu, blog Tinta Mudarris ini tidak dititipkan sesuatu. Lama tidak menulis untuk tatapan umum. Apa yang terjadi, biarlah menjadi misteri. Bukan apa, terlalu lama kemalasan merajai jiwa menyebabkan tangan ini seakan bersulam sengketa dengan laman ini. Namun hakikatnya tidaklah ada rasa untuk menutup laman ini. Tetapi insya-Allah, akan cuba kembali mewarnainya.

Tutuplah cerita-cerita lama. Bukalah lembaran baru seiring perjalanan masa. Hari ini sudah tidak sama seperti beberapa tahun yang lalu dari sudut situasinya. Tetapi masih sama pada matlamat dan misinya. Begitulah angin perubahan yang melanda pada diri insan yang kerdil ini.

Hari ini, masih bergelar seorang guru. Seorang pendidik anak bangsa yang akan terus menabur bakti dan jasa. Alhamdulillah, beginilah aturan rezeki Allah terhadap kehidupan insan ini. Meskipun jauh dari keluarga tercinta, tetapi masih mampu berjuang dalam meneruskan kehidupan ini. Ya, mencari secicip rezeki di negeri orang banyak menguji kesabaran dan ketabahan. Berjauhan dengan kampung halaman sering menggamit kerinduan di sanubari insan ini.

Masuk tahun ini, sudah lebih empat tahun berada di bumi kenyalang. Tanah ibu pertiwi. Menabur bakti di sini selagi mana mampu bertahan sebelum pulang kembali ke tanah semenanjung. Seperti insan lain yang bergelar guru yang bertugas di luar negeri kelahiran, cita-cita untuk berkhidmat di negeri sendiri sudah tentu menjadi pilihan hati. Walaupun ternampak sukar namun rezeki itu milik Allah jua. Kita hanya mampu berusaha dan berdoa yang terbaik buat diri kita dan juga orang lain.

Masih mengajar di daerah yang sama tetapi di sekolah yang berbeza. Di tempatkan di sekolah yang begitu unik. Terdapat dua aliran di bawah satu pentadbiran. Alhamdulillah, setelah tamat menjalani latihan praktikal selama satu tahun setengah bermula Januari 2012 dan tamat pada Jun 2013, sempat menjadi guru interim di sekolah lama selama lebih kurang 6 bulan sebelum posting pertama insan ini di sekolah baru ini bermula Jun 2014.

Semoga azam pada tahun 2016 ini, untuk kembali memeriahkan laman Tinta Mudarris akan dapat dilaksanakan dengan jayanya. Insya-Allah. Sudah lama meyepi, seakan timbul rajuk di hati. Tetapi hasrat ingin kembali menulis menjadikan insan ini perlu istiqomah menggerakkan jari-jemari untuk tatapan mereka yang sudi berkunjung ke laman ini.

Insan ini memohon maaf atas segala kekurangan yang terdapat di laman Tinta Mudarris ini kerana kelemahan insan ini dalam menguasai ilmu teknologi ini. Sekadar yang mampu dikongsi, insya-Allah tidak akan jemu berkongsi. Kemampuan untuk menulis adalah satu anugerah yang perlu dihargai. Menulis bukan kerana nama tetapi kerana di situ ada rasa keseronokan dan kepuasan dalam diri. Penulis sejati tidak pernah jemu berkongsi untuk menyebarkan kebaikan untuk mereka yang sudi membaca dan mengerti.


Azam dan semangat baru, semoga tidak haru-biru!

Friday 11 January 2013

Give our best for our students..

Hujan mengiringi perjalanan ke sekolah pada hari ini. Kesejukan dalam perjalanan. Sepanjang lebih kurang 20 minit perjalanan dari rumah sewa ke sekolah. Namun saya sedar, ini adalah sebuah pengorbanan yang mesti dilalui oleh seorang guru. Saya mengerti, keadaan saya di sini tidaklah seteruk guru-guru lain di kawasan pedalaman. Syukur. Alhamdulillah..

Lopak-lopak air di atas jalan raya terpaksa diredah. Bonggol-bonggol tinggi juga terpaksa diterjah. Itulah keadaan jalan raya yang 'carik' di sana sini. Mujurlah, sebahagiannya telah dibaik pulih, sekurang-kurangnya dapat mengurangkan lompatan dan lambungan ketika memandu motorsikal.

Seronok melayan emosi di pagi hari. Menikmati hirupan udara segar sepanjang perjalanan terutamanya dalam keadaan cuaca yang baik. Mana tidaknya, di kiri dan kanan umpama lautan rimba kehijauan. Dipenuhi ladang-ladang sawit dan sawah padi nan kekuningan. Amat menggamit nostalgia di halaman bonda. Rindu.


Mengajar kanak-kanak sekolah rendah, bukan satu tugas yang mudah. Baru kini saya mengerti, besarnya jasa seorang guru yang mengajar saya mengenal huruf-huruf aksara, mengajar membaca dan menulis, mengajar mengira dan mengaji. Terima kasih cikgu! Thank you teacher! Syukran Mu'allim!


Berbunga-bunga hati saya mendapat balasan 'surat cinta' daripada murid-murid saya. Ya, mereka menghantar tugasan yang saya beri kepada mereka ke dalam kotak yang disediakan. Biarpun ada yang sudah koyak @ renyuk. Namun, mereka masih sudi membalasnya. Terharu!

Murid-murid Tahun 1, mengajak saya bermain permainan semalam. Saya menuruti kerana memang saya ingin mengulanginya. Jika itu yang mereka minta, kenapa tidak dipenuhi. Asalkan mereka belajar sesuatu daripada permainan itu. Saya lihat mereka seronok. Saya berasa puas.


Sekalipun mereka masih tidak mampu menguasainya sepenuhnya. Mungkin proses minda mereka sedikit lambat berbanding murid-murid yang lain. Maklumlah murid-murid 'pemulihan'. Perlu banyak bersabar. Mereka perlukan masa untuk memahami bukannya terus memaksa mereka memahami. Biarkanlah mereka belajar walaupun apa yang mereka dapat tidak sebanyak yang lain.

We just need to give our best. We can't force them to understand immediately! Opss sorry.. My broken English.. Nothing to say again. Whatever, we must to learn how to make our students give their attentions in our class. They have their own advantages that we never know if we give up with them in teaching..

My poor English. Sorry.. I hope you all understand.. Ok!


Thursday 10 January 2013

What you give, you get back..

What you give, you get back!. Rasanya itulah yang boleh digambarkan oleh saya. Persediaan sebelum masuk ke kelas adalah amat penting. Merancang pengajaran adalah satu kewajipan dalam profession perguruan. Saya melihat respon daripada murid-murid melalui aktiviti P&P, saya rasa ianya lebih baik daripada sebelum ini. Murid-murid kelihatan lebih memberi tumpuan dan seronok dengan aktiviti yang dijalankan dan juga Bahan Bantu Mengajar yang disediakan.


Tidak tahu apa yang hendak saya ceritakan pada kali ini. Saya mengajak murid Tahun 1 bermain sambil menyebut huruf yang hampir sama bunyi. Saya seronok melihat mereka sekalipun mereka masih 'keliru' dengan sebutan huruf-huruf tertentu, tetapi mereka kelihatan berminat untuk belajar dan bermain sambil belajar. Mungkin begitulah cara mengajar golongan kanak-kanak.

Sekalipun ABM yang saya gunakan pada kali ini 'simple' sahaja, mungkin kerana kepelbagaian warnanya membuatkan ianya amat menarik. Dengan kudrat yang ada, saya cuba membuat sesuatu agar mereka lebih fokus untuk belajar dan kurang bermain dalam kelas semasa aktiviti P&P berlangsung. Saya begitu seronok bermain dengan kanak-kanak, memegang tangan mereka untuk menunjuk cara menulis yang betul, mendampingi mereka, serta melayan karenah mereka.


Melihat kanak-kanak yang bersih suci itu, melahir ketenangan dalam jiwa. Mereka tiada dosa yang terbeban di bahu mereka kerana mereka belum dipertanggungjawabkan lagi. Mereka bagaikan penghibur ketika di perantauan ini. Mengubat kerinduan pada warga di halaman bonda terutamanya pada anak-anak saudara. 

Guru perlu ada 'sesuatu' yang perlu dibawa ke bilik darjah. Sesuatu yang murid dapat lihat dan guna pakai  untuk aktiviti P&P mereka. Justeru, guru perlu berusaha menyediakannya sebelum melangkah ke dalam bilik darjah. Siapa pun guru, ingatlah amanah itu terlalu berat untuk hanya sambil lewa. Jadi, luangkan sedikit masa, merancang untuk kebaikan bersama. Kebaikan untuk murid-murid kita dan kebaikan buat diri kita.

Jika hanya sambil lewa, layakkah ucapan "Terima Kasih, Cikgu!" setiap kali sebelum melangkah meninggalkan bilik darjah untuk kita??? Ingatlah apa yang kita beri, kita akan dapat kembali. Jika tidak di dunia ini, mungkin di akhirat nanti..

Wednesday 9 January 2013

Advice students so that they improve their attitudes in the future..

Pagi ini, menerima penerangan daripada guru pembimbing saya untuk urusan praktikum. Berbincang tentang perkara-perkara yang perlu disediakan semasa praktikum. Ianya meliputi jadual praktikum iaitu 8 waktu untuk subjek major dan 4  waktu untuk subjek minor serta penyediaan portfolio.

Kemudian, saya berurusan dengan kerani sekolah untuk mendapatkan maklumat sekolah bagi dimasukkan ke dalam portfolio praktikum nanti. Perkara pada masa yang terdekat adalah menghantar jadual waktu praktikum dan taqwim sekolah kepada pensyarah pembimbing. Saya sendiri perlu menentukan jadual pilihan saya.

Kelas pada hari ini bermula jam 9.30 pagi, iaitu bagi subjek Bahasa Arab 1. Saya mengajar murid huruf hijaiyyah dengan memperdengarkan bunyi-bunyi seperti bunyi binatang, alat muzik, kenderaan dan lain-lain. Fokusnya adalah huruf awal yang membentuk kalimah-kelimah bunyi tersebut.


Saya memberikan tugasan kerja rumah kepada murid-murid saya. Saya memberikan sampul surat yang berisi kertas tugasan kepada murid-murid dan berpesan kepada mereka supaya menyiapkannya di rumah dan mengembalikannya ke dalam kotak yang saya sediakan di bilik mengajar.


Selepas rehat, saya ditugaskan untuk 'sit in' murid-murid Tahun 6 menggantikan guru BM yang bercuti. Saya mengedarkan kertas A4 dan meminta mereka melukis. Tajuknya bebas. Saya memerhati lukisan mereka. Keadaan kelas terkawal. Murid-murid membuat kerja yang saya berikan kepada mereka.

Saya menegur dengan tegas pelajar Tahun 6 kerana masih bermain-main ketika membaca doa sebelum belajar. Saya rasa saya perlu begitu sekalipun saya tidak mengajar mereka agar mereka tahu kesilapan mereka. Saya berharap agar mereka mengubah sikap mereka kerana mereka akan menduduki UPSR pada tahun ini.

Hari ini cuaca mendung dan hujan. Saya hanya berehat di rumah pada hari ini..

"Wayar laptop saya rosak!".. Dugaan menghadapi praktikum.. Sabar. Allahu Rabbi.. Allahu akbar!!!


Tuesday 8 January 2013

Be A Teacher Must Be A Creative Teacher..

Hari ini kelas berjalan seperti biasa. Kelas saya hari ini bermula jam 8.00 pagi sehingga jam 8.30 pagi bagi subjek Pendidikan Islam Tahun 1. Kandungan pembelajaran hari ini adalah sekitar mengenal dan membaca huruf hijaiyyah tunggal berbaris satu di atas. Kaedah semalam masih diguna pakai oleh saya pada hari ini. Guru menyebut manakala murid mengikut sebutan guru. Kemudian, guru meminta murid-murid menyebut huruf-huruf yang diajar berulangkali secara beramai-ramai dan individu. Selepas itu, guru meminta murid menulis huruf yang diajar pada kertas A4.

Kemudian diteruskan lagi dengan subjek Bahasa Arab Tahun 2 bermula jam 8.30 pagi hingga 9.30 pagi. Pengajaran saya pada hari ini adalah sekitar mendengar bunyi huruf melalui bunyi kenderaan dan binatang. Murid dapat mengikuti pembelajaran biarpun murid sedikit nakal dan kawalan kelas sedikit terganggu. Saya terpaksa bertindak tegas bagi mengawal keadaan. Terasa kepenatan untuk melayan karenah murid-murid 'pemulihan' Tahun 2 ini.


Saya telah memberikan kerja rumah kepada mereka. Kelainannya adalah, saya menyediakan sampul surat yang berisi lembaran kerja untuk mereka siapkan dan kemudiannya mereka mesti memasukkan sampul surat tersebut semula ke dalam kotak yang saya sediakan. Saya menggunakan kaedah pos surat bagi lembaran bagi melihat sikap dan komitmen mereka terhadap kerja yang diberikan. Saya melihat murid-murid saya begitu seronok mendapat sampul surat yang tertulis nama mereka. Saya berharap agar mereka menuruti arahan dan pesanan saya agar menghantar sampul surat tersebut ke dalam kotak yang disediakan setelah selesai menyiapkannya di rumah untuk disemak oleh saya.

Dalam menunggu sesi pengajaran yang seterusnya yang akan berlangsung pada jam 11.00 hingga 12.00 tengah hari, saya cuba menyiapkan satu papan permainan dadu bagi aktiviti permainan bahasa untuk aktiviti P&P yang akan datang sebagai persediaan awal Bahan Bantu Mengajar buat saya. Saya menggunakan 2 kad manila dan membentuk 6 poket yang akan saya isi dengan perkataan-perkataan yang bakal diajar nanti. Saya menanda setiap poket dengan bentuk tanda biji dadu dari satu titik hingga enam titik. ABM ini akan saya gunakan dalam sesi praktikum nanti. Mudah-mudahan ia dapat menarik minat murid-murid saya untuk belajar Bahasa Arab dan Pendidikan Islam.


We must change ourselves before we change others. Guru mesti bersiap sedia dengan rancangan pengajaran dan mengambil tahu keperluan murid dari semasa ke semasa agar proses pembelajaran dapat memberi input yang berkesan kepada murid. Semoga Allah merahmati segala usaha kita dalam mendidik manusia untuk mengenal Allah s.w.t dan usaha kita dalam memberikan ilmu sebagai bekalan mereka di hari muka.

Tepat jam 11.00 pagi, saya masuk kelas Tahun 5 mengajar Pendidikan Seni Visual. Mata pelajaran di luar bidang pengajian saya. Namun tetap perlu digalas kerana ianya satu amanah yang diberikan. Hari ini murid-murid tahun 5, saya minta melukis pemandangan ketika matahari hampir terbenam. Saya juga melukis di papan hitam sebagai pertambahan idea kepada mereka. Lukisan mereka kelihatan cantik dan menarik dan masih perlu digilap untuk lebih men'cantik'kannya. Insya-Allah dari semasa ke semasa.

Jam 1.00 petang, pulang ke rumah sewa. Rest and plan what I want to do after this.. Be a good and creative teacher. Never give up and must to try and  try something new for our students.. Okay!