Sunday 21 February 2016

Patah tumbuh, hilang berganti..


Tahniah buat sahabat-sahabat yang berjaya dalam sesi pertukaran Mac 2016. Mudah-mudahan kisah duka lara kalian semakin ringan. Meskipun tidak mampu lagi pulang ke negeri kelahiran, namun sekurang-kurangnya sudah berada di tanah semenanjung. Ya, semakin dekat dengan keluarga dan sanak-saudara berbanding dari terus berada di sini yang agak berjauhan barangkali.

Bersyukurlah kepada Allah s.w.t kerana memakbulkan doa kalian untuk lebih mendekat dengan orang-orang yang tersayang. Insan ini mungkin kurang mengerti perasaan kalian yang berduka lara kerana belum pun selangkah berada di tempat kalian, tetapi melihat kesulitan kalian sudah tentu insan ini mengerti betapa perlunya kalian berada di sisi insan-insan yang tersayang.

Kerisauan dan kebimbangan pada sebuah ikatan dan pertalian kekeluargaan ternampak seakan dilema yang membelenggu jiwa bila di kejauhan. Insan ini mengerti, bukan mudah untuk meninggalkan isteri dan anak-anak yang masih kecil jauh dari perhatian dan pandangan mata. Hubungan di talian telefon dan talian terbuka tidak mungkin sama dengan suasana ketika di sisi dan di depan mata. Anak-anak adalah amanah Allah untuk dijaga dan diperlihara serta diberi didikan yang sewajarnya agar menjadi insan yang berguna pada masa akan datang.

Bagi mereka yang belum ada rezeki pada pertukaran pada kali ini, bertabahlah dan cuba lagi pada masa yang akan datang. Mungkin belum rezeki pada sesi kali ini, insya-Allah akan menyusul sedikit masa lagi. Kita cuma merancang, tetapi Allah jua yang menentukan segala-galanya. Teruskanlah berusaha dan berjuang, serta tidak jemu berdoa mudah-mudahan dapat merasai nikmat perpindahan sepertimana mereka yang telah berjaya.

Betapa hati insan ini bercampur antara gembira dan hiba bila mana ada teman-teman yang dapat berpindah pada sesi pertukaran pada kali ini. Benar, gembira kerana mereka dapat kembali mendekat dengan keluarga masing-masing dan rasa sayu pula hati bila teman-teman yang sekian lama bersama-sama kita akan pulang meninggalkan kita berjuang di kepulauan borneo ini. Yang pasti, suasana selepas ini akan berubah terutamanya dalam meniti ukhuwah di kejauhan ini. Bagi insan ini, mereka adalah teman-teman dan mereka seperti keluarga yang banyak menghiburkan hati dan membantu insan ini ketika berada di kejauhan ini.


Beginilah lumrah kehidupan, setiap pertemuan pasti akan ada perpisahan. Mungkin perjuangan kalian di sini telah berakhir dan perjuangan di tanah semenanjung akan bermula. Suasananya pasti berbeza walau di mana pun kita berada. Sebagai pendidik, teruskanlah berbakti mendidik anak bangsa dengan penuh profesional dan berdedikasi agar amal jariah yang dilakukan ini mendapat keredhaan dan keberkatan daripada Allah s.w.t.

Insan ini masih di sini. Belum berduka lara, cuma berduka cita. Akan meneruskan perjuangan sehingga tibanya ketentuan. Akan terus bersabar dan tabah dalam perjuangan ini. Insan ini percaya, lambat ataupun cepat, insan ini akan pulang juga ke tanah semenanjung untuk berkhidmat di sana pula. Insya-Allah. Doa-doakanlah insan ini agar dapat juga kembali mendekat dengan keluarga yang tercinta suatu hari nanti. Benar, kita hanya merancang, di sisi Allah jualah sebaik-baik perancangan. Mungkin ada hikmah untuk insan ini dan teman-teman yang lain terus berjuang di sini sebelum pulang berkhidmat di semenanjung nanti.

Selamat berjuang dan bertugas di tempat baru bagi teman-teman yang berjaya dalam sesi pertukaran pada kali ini. Terima kasih atas ikatan persahabatan yang cukup indah ini. Tanpa kalian nanti, pasti akan menggamit kerinduan. Tapi insya-Allah, yang patah akan tumbuh, yang hilang akan berganti. Walaupun tidak sama, tetapi akan terus menghiasi taman ukhuwah di kejauhan ini. Insya-Allah. Semoga ikatan ukhuwah yang terbina, akan terus mekar mewangi hingga ke syurga firdausi. Amin.

Pertemuan dan perpisahan adalah lumrah kehidupan, terimalah ketentuan!

Monday 15 February 2016

Kembali bertugas, kembali masuk ke dalam kelas..


Cuti seminggu sudah habis. Ya, cuti sempena perayaan Tahun Baru Cina. Hari ini, insan ini kembali bertugas sebagai pendidik di sekolah. Kembali masuk ke dalam kelas. Kembali mencurah ilmu kepada murid-murid di bilik darjah. Macam biasa, suasana selepas bercuti, masih tercari-cari semangat untuk mengajar. Maklumlah, enjin telah sejuk bila mana bercuti selama seminggu ini.

Insya-Allah, akan segera pulih dari dilema ‘cuti’ ini. Semoga anak-anak murid juga kembali bersedia menerima curahan ilmu daripada warga pendidik. Beginilah belenggu yang sering menimpa insan ini seusai cuti berakhir. Mencari rentak dan momentum untuk berkerja dengan lebih bertenaga dan bersemangat. Insan ini percaya, bukan insan ini sahaja yang mengalaminya. Rakan-rakan lain yang bergelar pendidik juga pasti turut merasakannya.

Justeru, dalam tempoh sehari dua ini perlu kembali melihat refleksi sesi pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Adakah mencapai objektif atau sebaliknya?. Sedaya upaya memberikan yang terbaik sekadar yang termampu untuk menyampaikan ilmu kepada anak-anak murid insan ini.


Ikhlaskanlah hati dalam mendidik anak bangsa kita. Sebagai pendidik, kita hanya mampu menyampaikan ilmu kepada murid-murid. Kita sedaya upaya cuba memahamkan mereka isi pengajaran kepada murid. Mereka faham atau tidak bukan urusan kita. Ia bergantung kepada usaha dan kemampuan serta tahap kecerdasan minda murid. Kita hanya mampu terus berdoa agar mereka diberikan kefahaman oleh Allah s.w.t.

Kita ada cerita masing-masing di bilik darjah. Karenah murid yang bermacam-macam jenis menuntut kesabaran dan ketabahan. Bukan mudah mengawal anak-anak dari pelbagai latar belakang kehidupan yang berbeza. Ketegasan tetap perlu ada dalam mendidik mereka agar mereka tahu membezakan antara yang betul dan yang salah. Biarpun mereka bukan anak kandung kita tapi mereka diamanahkan untuk diasuh dan diberi didikan yang sewajarnya mengikut keperluan semasa.


Dunia pendidikan pada hari ini semakin mencabar dan menuntut komitmen dan pengorbanan yang tinggi daripada warga pendidik. Selari dengan perkembangan sistem pendidikan pada abad ke-21, sewajarnya kita para pendidik perlu sentiasa bersedia dan peka dengan tuntutan dalam bidang perguruan pada masa kini agar mampu mencapai visi dan misi yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.

Kembali masuk ke dalam kelas, mulakanlah dengan niat yang ikhlas!

Saturday 13 February 2016

Tutup cerita lama, buka lembaran baru..


Seakan sudah bersarang debu, blog Tinta Mudarris ini tidak dititipkan sesuatu. Lama tidak menulis untuk tatapan umum. Apa yang terjadi, biarlah menjadi misteri. Bukan apa, terlalu lama kemalasan merajai jiwa menyebabkan tangan ini seakan bersulam sengketa dengan laman ini. Namun hakikatnya tidaklah ada rasa untuk menutup laman ini. Tetapi insya-Allah, akan cuba kembali mewarnainya.

Tutuplah cerita-cerita lama. Bukalah lembaran baru seiring perjalanan masa. Hari ini sudah tidak sama seperti beberapa tahun yang lalu dari sudut situasinya. Tetapi masih sama pada matlamat dan misinya. Begitulah angin perubahan yang melanda pada diri insan yang kerdil ini.

Hari ini, masih bergelar seorang guru. Seorang pendidik anak bangsa yang akan terus menabur bakti dan jasa. Alhamdulillah, beginilah aturan rezeki Allah terhadap kehidupan insan ini. Meskipun jauh dari keluarga tercinta, tetapi masih mampu berjuang dalam meneruskan kehidupan ini. Ya, mencari secicip rezeki di negeri orang banyak menguji kesabaran dan ketabahan. Berjauhan dengan kampung halaman sering menggamit kerinduan di sanubari insan ini.

Masuk tahun ini, sudah lebih empat tahun berada di bumi kenyalang. Tanah ibu pertiwi. Menabur bakti di sini selagi mana mampu bertahan sebelum pulang kembali ke tanah semenanjung. Seperti insan lain yang bergelar guru yang bertugas di luar negeri kelahiran, cita-cita untuk berkhidmat di negeri sendiri sudah tentu menjadi pilihan hati. Walaupun ternampak sukar namun rezeki itu milik Allah jua. Kita hanya mampu berusaha dan berdoa yang terbaik buat diri kita dan juga orang lain.

Masih mengajar di daerah yang sama tetapi di sekolah yang berbeza. Di tempatkan di sekolah yang begitu unik. Terdapat dua aliran di bawah satu pentadbiran. Alhamdulillah, setelah tamat menjalani latihan praktikal selama satu tahun setengah bermula Januari 2012 dan tamat pada Jun 2013, sempat menjadi guru interim di sekolah lama selama lebih kurang 6 bulan sebelum posting pertama insan ini di sekolah baru ini bermula Jun 2014.

Semoga azam pada tahun 2016 ini, untuk kembali memeriahkan laman Tinta Mudarris akan dapat dilaksanakan dengan jayanya. Insya-Allah. Sudah lama meyepi, seakan timbul rajuk di hati. Tetapi hasrat ingin kembali menulis menjadikan insan ini perlu istiqomah menggerakkan jari-jemari untuk tatapan mereka yang sudi berkunjung ke laman ini.

Insan ini memohon maaf atas segala kekurangan yang terdapat di laman Tinta Mudarris ini kerana kelemahan insan ini dalam menguasai ilmu teknologi ini. Sekadar yang mampu dikongsi, insya-Allah tidak akan jemu berkongsi. Kemampuan untuk menulis adalah satu anugerah yang perlu dihargai. Menulis bukan kerana nama tetapi kerana di situ ada rasa keseronokan dan kepuasan dalam diri. Penulis sejati tidak pernah jemu berkongsi untuk menyebarkan kebaikan untuk mereka yang sudi membaca dan mengerti.


Azam dan semangat baru, semoga tidak haru-biru!