Seakan sudah bersarang debu, blog Tinta Mudarris ini tidak dititipkan sesuatu. Lama tidak menulis untuk tatapan umum. Apa yang terjadi, biarlah menjadi misteri. Bukan apa, terlalu lama kemalasan merajai jiwa menyebabkan tangan ini seakan bersulam sengketa dengan laman ini. Namun hakikatnya tidaklah ada rasa untuk menutup laman ini. Tetapi insya-Allah, akan cuba kembali mewarnainya.
Tutuplah
cerita-cerita lama. Bukalah lembaran baru seiring perjalanan masa. Hari ini
sudah tidak sama seperti beberapa tahun yang lalu dari sudut situasinya. Tetapi
masih sama pada matlamat dan misinya. Begitulah angin perubahan yang melanda
pada diri insan yang kerdil ini.
Hari ini, masih
bergelar seorang guru. Seorang pendidik anak bangsa yang akan terus menabur
bakti dan jasa. Alhamdulillah, beginilah aturan rezeki Allah terhadap kehidupan
insan ini. Meskipun jauh dari keluarga tercinta, tetapi masih mampu berjuang
dalam meneruskan kehidupan ini. Ya, mencari secicip rezeki di negeri orang
banyak menguji kesabaran dan ketabahan. Berjauhan dengan kampung halaman sering
menggamit kerinduan di sanubari insan ini.
Masuk tahun ini,
sudah lebih empat tahun berada di bumi kenyalang. Tanah ibu pertiwi. Menabur
bakti di sini selagi mana mampu bertahan sebelum pulang kembali ke tanah
semenanjung. Seperti insan lain yang bergelar guru yang bertugas di luar negeri
kelahiran, cita-cita untuk berkhidmat di negeri sendiri sudah tentu menjadi
pilihan hati. Walaupun ternampak sukar namun rezeki itu milik Allah jua. Kita
hanya mampu berusaha dan berdoa yang terbaik buat diri kita dan juga orang
lain.
Masih mengajar di
daerah yang sama tetapi di sekolah yang berbeza. Di tempatkan di sekolah yang
begitu unik. Terdapat dua aliran di bawah satu pentadbiran. Alhamdulillah, setelah
tamat menjalani latihan praktikal selama satu tahun setengah bermula Januari
2012 dan tamat pada Jun 2013, sempat menjadi guru interim di sekolah lama
selama lebih kurang 6 bulan sebelum posting pertama insan ini di sekolah baru
ini bermula Jun 2014.
Semoga azam pada
tahun 2016 ini, untuk kembali memeriahkan laman Tinta Mudarris akan dapat
dilaksanakan dengan jayanya. Insya-Allah. Sudah lama meyepi, seakan timbul
rajuk di hati. Tetapi hasrat ingin kembali menulis menjadikan insan ini perlu
istiqomah menggerakkan jari-jemari untuk tatapan mereka yang sudi berkunjung ke
laman ini.
Insan ini memohon
maaf atas segala kekurangan yang terdapat di laman Tinta Mudarris ini kerana
kelemahan insan ini dalam menguasai ilmu teknologi ini. Sekadar yang mampu
dikongsi, insya-Allah tidak akan jemu berkongsi. Kemampuan untuk menulis adalah
satu anugerah yang perlu dihargai. Menulis bukan kerana nama tetapi kerana di
situ ada rasa keseronokan dan kepuasan dalam diri. Penulis sejati tidak pernah jemu berkongsi
untuk menyebarkan kebaikan untuk mereka yang sudi membaca dan mengerti.
Azam dan semangat
baru, semoga tidak haru-biru!
No comments:
Post a Comment