Cuti seminggu sudah habis. Ya, cuti sempena perayaan Tahun Baru Cina. Hari ini, insan ini kembali bertugas sebagai pendidik di sekolah. Kembali masuk ke dalam kelas. Kembali mencurah ilmu kepada murid-murid di bilik darjah. Macam biasa, suasana selepas bercuti, masih tercari-cari semangat untuk mengajar. Maklumlah, enjin telah sejuk bila mana bercuti selama seminggu ini.
Insya-Allah, akan
segera pulih dari dilema ‘cuti’ ini. Semoga anak-anak murid juga kembali
bersedia menerima curahan ilmu daripada warga pendidik. Beginilah belenggu yang
sering menimpa insan ini seusai cuti berakhir. Mencari rentak dan momentum
untuk berkerja dengan lebih bertenaga dan bersemangat. Insan ini percaya, bukan
insan ini sahaja yang mengalaminya. Rakan-rakan lain yang bergelar pendidik
juga pasti turut merasakannya.
Justeru, dalam
tempoh sehari dua ini perlu kembali melihat refleksi sesi pengajaran dan
pembelajaran di bilik darjah. Adakah mencapai objektif atau sebaliknya?. Sedaya
upaya memberikan yang terbaik sekadar yang termampu untuk menyampaikan ilmu
kepada anak-anak murid insan ini.
Ikhlaskanlah hati
dalam mendidik anak bangsa kita. Sebagai pendidik, kita hanya mampu
menyampaikan ilmu kepada murid-murid. Kita sedaya upaya cuba memahamkan mereka
isi pengajaran kepada murid. Mereka faham atau tidak bukan urusan kita. Ia
bergantung kepada usaha dan kemampuan serta tahap kecerdasan minda murid. Kita
hanya mampu terus berdoa agar mereka diberikan kefahaman oleh Allah s.w.t.
Kita ada cerita
masing-masing di bilik darjah. Karenah murid yang bermacam-macam jenis menuntut
kesabaran dan ketabahan. Bukan mudah mengawal anak-anak dari pelbagai latar
belakang kehidupan yang berbeza. Ketegasan tetap perlu ada dalam mendidik mereka
agar mereka tahu membezakan antara yang betul dan yang salah. Biarpun mereka
bukan anak kandung kita tapi mereka diamanahkan untuk diasuh dan diberi didikan
yang sewajarnya mengikut keperluan semasa.
Dunia pendidikan
pada hari ini semakin mencabar dan menuntut komitmen dan pengorbanan yang
tinggi daripada warga pendidik. Selari dengan perkembangan sistem pendidikan
pada abad ke-21, sewajarnya kita para pendidik perlu sentiasa bersedia dan peka
dengan tuntutan dalam bidang perguruan pada masa kini agar mampu mencapai visi
dan misi yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.
Kembali masuk ke
dalam kelas, mulakanlah dengan niat yang ikhlas!
No comments:
Post a Comment