Tuesday 1 January 2013

Selamat Tahun Baru 2013; Apa ceritanya?


Alhamdulillah.. Ahlan Wasahlan Wa Marhaban Bikum.. Selamat Tahun Baru 2013.. Biasanya tahun baru dengan azam yang baru.. Hari ini menghadiri mesyuarat staf 1 di sekolah. Perkongsian daripada Guru Besar tentang persediaan menghadapi sesi persekolahan bagi tahun 2013 ini. Kata-kata semangat dan harapan agar warga pendidik lebih bersemangat menjalankan amanah dan tugasan dalam mendidik murid-murid bagi sesi 2013 ini.

Esok bermulanya sesi persekolahan pada tahun ini. Alhamdulillah, jadual waktu mengajar sudah pun diagihkan seusai mesyuarat pada hari ini. Buat masa terdekat ini, ditugaskan mengajar bagi subjek Bahasa Arab Tahun 1, 2, dan 3 dan Pendidikan Islam Tahun 1 dan 2. Kesemuanya sebanyak 21 waktu dalam seminggu.

Tahun ini akan bermulanya sesi praktikum selama lebih kurang 60 hari. Ianya akan bermula pada 14 Januari 2013 ini. Cepat sungguh rasanya. Insya-Allah, semoga lebih bersedia menjalani sesi praktikum ini. Semoga dipermudahkan segala urusan sepanjang menjalani sesi praktikum nanti.

Rasa berdebar juga untuk di 'observe'. Maklumlah dalam latihan menjadi guru. Belajar pun hanya 9 minggu sepanjang 18 bulan latihan. Selebihnya terus berada di sekolah menjalani latihan seperti guru biasa. Begitulah kisahnya menjadi Guru Dalam Latihan bagi j-QAF ambilan Januari 2012 yang belum tamat lagi ini. 

Setakat inilah dahulu, coretan pertama dalam blog Tinta Mudarris ini. Insya-Allah, kita jumpa lagi di lain ketika. Apapun "Saya Bangga Menjadi Guru". Bukanlah bererti bangga itu megah tetapi kerana tugas guru merupakan satu tugasan yang mulia dalam mendidik anak bangsa. Mudah-mudahan mereka mendapat ilmu yang bermanfaat sebagai bekalan dalam meniti kehidupan ini.

Hingga bertemu lagi di lain masa. Insya-Allah...


No comments:

Post a Comment