Monday, 7 January 2013

Back to school..


Kembali ke sekolah selepas 2 hari bercuti mingguan, Sabtu dan Ahad. Pagi ini ada perhimpunan di sekolah. Rutin biasa pada sebelah pagi setiap hari Isnin sebelum jadual P&P bermula. PK HEM mengendalikan perhimpunan pada pagi ini, kerana badan pengawas sekolah masih belum dilantik. Kebiasaannya, badan pengawas yang akan mengendalikan acara perhimpunan mingguan sekolah.

PK HEM turut menyampaikan pesanan kepada murid-murid berkenaan pakaian sekolah yang perlu disediakan sekurang-kurangnya 2 pasang setiap murid. Begitu juga dengan kasut murid mesti mempunyai 2 padang agar murid-murid dapat menggantikan pakaian dengan pakaian yang satu lagi jika ianya basah dan kotor. PK HEM juga menyeru agar murid-murid sentiasa memerhati papan kenyataan di bahagian Hal Ehwal Murid yang disediakan di luar bilik guru. Beliau juga menasihati murid agar membawa bekalan dari rumah kerana makanan RMT masih belum bermula dan masih menunggu lampu hijau dari PPD.

Selepas itu, Guru Besar menyampaikan amanat kepada murid. Beliau mengingatkan kembali apa yang telah disampaikan oleh PK HEM. Beliau juga memberitahu murid-murid bahawa Kelas KAFA akan bermula pada minggu ini pada setiap hari Isnin, Selasa dan Khamis bermula jam 2.00 petang bagi murid tahun 2 hingga tahun 5 manakala kelas Tasmik bagi murid tahun 1 pada setiap hari Khamis jam 2.00 petang hingga 4.00 petang. Perhimpunan tamat jam 7.55 pagi.


Hari ini, saya tiada banyak kelas. Jadual pada hari ini hanya bagi subjek Pendidikan Islam Tahun 1 bermula jam 12.00 hingga 1.00 petang. Terasa amat boring pula menunggu untuk masuk ke kelas. Tiada pula diarahkan untuk aktiviti 'sit in' pada hari ini. Masa yang ada digunakan untuk menyediakan ABM bagi subjek Pendidikan Islam Tahun 1. Saya juga menghias bilik mengajar dengan melekatkan ABM yang saya gunakan pada minggu lepas di papan notis bagi menceriakan kelas. Sekurang-kurangnya ianya dapat membantu murid-murid mengenal huruf-huruf hijaiyyah dengan lebih baik.

Aktiviti P&P saya pada hari ini berjalan dengan lancar. Kelihatan murid-murid seronok mengikuti aktiviti P&P saya pada hari ini. Saya cuma menyediakan kad imbasan yang ditampalkan di papan hitam dan saya menyediakan kertas A4 kepada setiap orang murid dan 2 batang pen berwarna-warni kepada setiap mereka. Saya meminta mereka menulis huruf-huruf yang saya ajar pada kertas A4 yang disediakan sambil menyebut dan mengenal huruf tersebut. Kelihatan mereka amat seronok dengan aktiviti pada hari ini.

Try to be a good and creative teacher! Do something dan try to attract their focus in lesson session... Mudah-mudahan murid-murid dapat belajar dengan penuh minat dan memahami apa yang dipelajari dalam setiap sesi P&P..

See tomorrow.. Insya-Allah..

Saturday, 5 January 2013

Today at school; go on and don't give up!


Murid-murid Tahun 2 amat memeningkan kepala. Kenakalan mereka semakin menjadi-jadi. Terasa sukar pula untuk mengawal kelas mereka. Berbeza dengan murid-murid Tahun 1. Satu cabaran buat guru pelatih seperti saya. Masih mencari kaedah terbaik bagi menanganinya. Pusing!

Pengajaran bagi subjek Pendidikan Islam Tahun 1 rasanya lebih baik. Murid-murid dapat mengikuti aktiviti P&P dengan baik. Sekalipun saya masih menggunakan kaedah pengajaran dan aktiviti pembelajaran yang hampir sama seperti semalam. Saya  melihat mereka seronok dan mereka melibatkan diri dalam aktiviti P&P pada hari ini.

Murid-murid Tahun 3, biarpun nampak main-main tetapi masih ada keinginan belajar. Amat berbeza dengan murid-murid Tahun 2. Cukup menguji kesabaran seorang guru terutamanya guru dalam latihan seperti saya. Dengan gelagat dan ragam yang pelbagai. Murid-murid yang saya boleh klasifikasikan termasuk dalam kumpulan hyperaktif. Dalam minda mereka mungkin nak main saja..

Hari ini pengajaran bagi Tahun 1, saya diperhati oleh guru j-QAF yang baru. Dia melihat cara-cara mengajar murid-murid 'pemulihan' yang diajar oleh saya. Saya mengajar seperti biasa sahaja. Mengajar murid-murid mengenal huruf hijaiyyah. Itulah yang paling asas.

Hari ini, jadual terbaru telah diterima. Insya-Allah akan bermula pada minggu hadapan. Subjek Pendidikan Islam Tahun 2 digugurkan dalam jadual saya dan diganti dengan subjek PSV Tahun 5. Satu-satunya subjek di luar bidang j-QAF yang akan diajar oleh saya. Seperti tahun lepas juga, diberi amanah untuk mengajar subjek PJK dan Muzik.

Banyak lagi tugasan Maktab yang belum diselesaikan. Insya-Allah akan cuba menyiapkannya dalam tempoh masa yang terdekat ini sebelum bermulanya sesi praktikum nanti. Mudah-mudahan ianya tidak menganggu perjalanan praktikum saya pada tahun ini.

Sabar dan terus bersabar. Fikir dan terus bertindak! Rancang dan cuba laksanakan sebaik mungkin. Tanpa mencuba kita tidak akan tahu di mana kelemahan kita. Cuba dan teruslah mencuba untuk mengatasi kelemahan yang ada. Teruskan perjuangan!

Friday, 4 January 2013

Hari ini di sekolah..


Hari ini, pagi-pagi lagi terpampang di pintu masuk bilik guru. Senarai pengagihan waktu mengajar yang terbaru. Alhamdulillah.. Berkurang waktu mengajar seminggu dari 21 kepada 17 waktu sahaja. Lega rasanya hati ini kerana terasa keberatan dengan 21 waktu sebelum ini. Maklumlah akan bermula praktikum pada masa terdekat ini.

Sekalipun ada subjek yang bukan dalam bidang pengajian perlu diajar, namun mujurlah tidak banyak, cuma 2 waktu sahaja seminggu. Berikutan pengagihan tersebut, jadual waktu terbaru akan diagihkan pada masa terdekat. Berkemungkinan pada hari esok. Namun, saya perlu mengikuti jadual sebelum ini sehinggalah dimaklumkan oleh guru penyelaras jadual waktu.

Hari ini kelas bermula jam 9.00 pagi bagi subjek Pendidikan Islam Tahun 2. Mengajar surah al-Kafirun kepada murid-murid saya. Sesi pengajaran dan pembelajaran berlangsung selama 1 jam. Selepas itu, diteruskan lagi dengan subjek Bahasa Arab Tahun 2. 

Pada jam 11.00 pagi iaitu selepas waktu rehat, saya mengajar subjek Pendidikan Islam Tahun 1. Belajar mengenal huruf jawi. Alat bantu mengajar yang saya gunakan hanyalah kad imbasan yang berwarna-warni. Saya meminta murid menulis di papan hitam dan menunjukkan cara yang betul menulis huruf jawi. Saya membantu murid-murid menulis dengan mendampingi mereka sambil memegang tangan mereka dan sama-sama menulis huruf jawi yang diajar. Pengajaran berlangsung selama 1 jam.

Pada jam 12.00 tengah hari pula, saya mengajar subjek Bahasa Arab Tahun 3. Saya mengunakan papan hitam, menulis perkara yang diajar kepada murid. Saya meminta murid membaca dan mengulanginya. Saya memberi latihan kepada murid-murid. Pengajaran berlangsung selama 1 jam.

Hari ini adalah hari yang meletihkan bagi saya. Melayan karenah murid-murid saya. Saya berharap agar mereka dapat memahami pengajaran saya pada hari ini dengan baik. Saya akan cuba memperbaiki kelemahan saya dari semasa ke semasa dengan menggunakan aktiviti yang pelbagai dalam sesi pengajaran dan pembelajaran untuk kebaikan murid-murid saya.

Hari ini telah selesai. Esok bakal menjelma. Jumpa lagi! RPH..

Thursday, 3 January 2013

My first day at primary school for this year; 2013...

Hari pertama di sekolah. Perhimpunan diadakan jam 7.30 pagi. Ditugaskan membaca doa pada hari ini. Guru Besar menyampaikan amanat kepada murid-murid berkenaan rutin harian persekolahan. Murid-murid dan warga guru mesti berada di sekolah selewat-lewatnya jam 7.20 pagi pada setiap hari persekolahan.

Waktu perhimpunan diperuntukkan selama 30 minit sebelum bermulanya sesi pengajaran dan pembelajaran dan ditetapkan pada setiap hari Isnin jam 7.30 pagi sehingga 8.00 pagi. Berbeza pada hari ini kerana sesi persekolahan baru sahaja bermula. Perhimpunan pertama sesi persekolahan bagi sesi 2012.

Hari ini, terdapat kesilapan jadual yang diagihkan semalam kepada saya. Sepatutnya dalam jadual yang diagihkan, perlu mengajar subjek Pendidikan Islam Tahun 2, namun tunggu punya tunggu ada guru lain dalam kelas. Kemudian merujuk kepada Guru penyelaras jadual waktu, ternyata berlaku kesilapan di situ. Sepatutnya, bagi subjek tersebut akan diajar pada hari esok iaitu Khamis. Segera memperbetulkan kesilapan tersebut agar tidak menganggu perancangan mengajar harian.

Selepas waktu rehat iaitu pada jam 11.00 pagi, barulah sesi pertama pengajaran dan pembelajaran bermula. Ia adalah bagi subjek Bahasa Arab Tahun 1. Pada sesi ini, saya bersama mentor memilih pelajar yang tidak dapat membaca agar diasingkan dan bakal diserahkan kepada saya untuk dibimbing di bilik yang berasingan. Begitulah konsep j-QAF, guru j-QAF sebagai pembantu guru Pendidikan Islam di sekolah.

Hari ini, saya tidak mengajar kerana menyerahkan kepada mentor saya untuk sesi pengajaran. Saya hanya membantu murid-murid tahun 1 mengeluarkan buku teks Bahasa Arab Tahun 1. Ramai juga dalam kalangan mereka tertukar buku dengan buku yang lain. Saya sendiri terpaksa pergi dari satu meja ke meja yang lain untuk mengeluarkan buku teks tersebut dalam beg sekolah mereka. Ini rutin biasa bagi murid Tahun 1 pada awal sesi persekolahan. Guru seharusnya banyak bersabar dan perlu banyak mendampingi murid-murid untuk mengenal buku yang sepatutnya diambil bagi sesuatu mata pelajaran. Mereka masih dalam proses menyesuaikan diri dengan alam persekolahan yang baru.

Itulah sedikit sebanyak, peristiwa di sekolah saya pada hari ini. Saya masih tidak mengenali pelajar Tahun 1 kerana sebelum ini saya tidak mengajar prasekolah. Insya-Allah, selepas ini saya akan cuba mengenali mereka. Ya, nama dan diri mereka. Tak kenal maka tak cinta. Bukankah begitu?

Selamat Bertugas Cikgu! Ustaz! Ustazah! Sir! Teacher!

Mudah-mudahan dipermudahkan segala urusan kita dalam mendidik anak bangsa kita. Semoga mereka memperolehi ilmu yang bermanfaat untuk diri mereka bagi menjalani kehidupan di dunia ini. Didiklah anak-anakmu sesuai dengan zaman mereka!



Selamat bertugas!

Tuesday, 1 January 2013

Selamat Tahun Baru 2013; Apa ceritanya?


Alhamdulillah.. Ahlan Wasahlan Wa Marhaban Bikum.. Selamat Tahun Baru 2013.. Biasanya tahun baru dengan azam yang baru.. Hari ini menghadiri mesyuarat staf 1 di sekolah. Perkongsian daripada Guru Besar tentang persediaan menghadapi sesi persekolahan bagi tahun 2013 ini. Kata-kata semangat dan harapan agar warga pendidik lebih bersemangat menjalankan amanah dan tugasan dalam mendidik murid-murid bagi sesi 2013 ini.

Esok bermulanya sesi persekolahan pada tahun ini. Alhamdulillah, jadual waktu mengajar sudah pun diagihkan seusai mesyuarat pada hari ini. Buat masa terdekat ini, ditugaskan mengajar bagi subjek Bahasa Arab Tahun 1, 2, dan 3 dan Pendidikan Islam Tahun 1 dan 2. Kesemuanya sebanyak 21 waktu dalam seminggu.

Tahun ini akan bermulanya sesi praktikum selama lebih kurang 60 hari. Ianya akan bermula pada 14 Januari 2013 ini. Cepat sungguh rasanya. Insya-Allah, semoga lebih bersedia menjalani sesi praktikum ini. Semoga dipermudahkan segala urusan sepanjang menjalani sesi praktikum nanti.

Rasa berdebar juga untuk di 'observe'. Maklumlah dalam latihan menjadi guru. Belajar pun hanya 9 minggu sepanjang 18 bulan latihan. Selebihnya terus berada di sekolah menjalani latihan seperti guru biasa. Begitulah kisahnya menjadi Guru Dalam Latihan bagi j-QAF ambilan Januari 2012 yang belum tamat lagi ini. 

Setakat inilah dahulu, coretan pertama dalam blog Tinta Mudarris ini. Insya-Allah, kita jumpa lagi di lain ketika. Apapun "Saya Bangga Menjadi Guru". Bukanlah bererti bangga itu megah tetapi kerana tugas guru merupakan satu tugasan yang mulia dalam mendidik anak bangsa. Mudah-mudahan mereka mendapat ilmu yang bermanfaat sebagai bekalan dalam meniti kehidupan ini.

Hingga bertemu lagi di lain masa. Insya-Allah...